AGENDAJENAYAH

SKMM sekat lebih 6,000 laman sesawang judi dalam talian

PUTRAJAYA, 5 FEB: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat 6,381 laman sesawang judi dalam talian bagi tempoh antara 2020 hingga akhir 2022.

Dalam kenyataan hari ini, SKMM memberitahu tindakan menyekat itu diambil berdasarkan kepada permohonan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kenyataan itu memaklumkan sejumlah 212,399 talian telefon termasuk talian mudah alih dan tetap yang menghantar spam SMS meragukan seperti mempromosi judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain juga ditamatkan perkhidmatannya bermula 2020 sehingga 2022.

“Susulan gesaan sebuah persatuan pengguna agar platform perjudian dalam talian dikawal selia, SKMM ingin memaklumkan kami sentiasa komited dalam menyokong tindakan penguatkuasaan PDRM dalam usaha untuk membanteras kegiatan judi dalam talian yang tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).

Dalam hal ini, pihak PDRM menjalankan tindakan dan penguatkuasaan manakala SKMM pula berperanan dalam memberikan bantuan teknikal kepada PDRM termasuk pembekalan maklumat dan sekatan laman sesawang berunsur perjudian berdasarkan permohonan daripada PDRM,” kata kenyataan itu.

Menurut SKMM, selain tindakan penguatkuasaan (pendakwaan atau sekatan), kesedaran diri, pendidikan serta kawalan kendiri adalah kunci dalam usaha membanteras perjudian dalam talian.

Katanya pengguna secara umum juga boleh memainkan peranan untuk turut sama dalam usaha menyekat aktiviti promosi judi dalam talian, antaranya dengan melaporkan kepada SKMM promosi iklan-iklan judi diterima melalui SMS supaya pembatalan talian dapat dilaksanakan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“Sekiranya pengguna menerima iklan judi melalui aplikasi pesanan ringkas seperti WhatsApp dan media sosial seperti Facebook, laporkan nombor talian atau akaun media sosial tersebut kepada penyedia perkhidmatan aplikasi atau penyedia platform media sosial supaya nombor atau akaun tersebut tidak dapat menghantar iklan promosi judi dalam talian kepada pengguna lain,” katanya. – BERNAMA

 


Pengarang :