AGENDANASIONAL

SKMM tetap harga lantai jalur lebar mulai 1 Mac

OLEH DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 26 FEB: Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menetapkan harga lantai perkhidmatan jalur lebar menerusi pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) mulai 1 Mac.

Menteri Komunikasi dan digital berkata dalam masa terdekat penyedia perkhidmatan jalur lebar akan menurunkan harga pasaran bagi perkhidmatan itu.

Fahmi Fadzil berkata penetapan harga itu antara usaha diambil kementeriannya untuk manfaat rakyat dengan menggandakan kelajuan jalur lebar pada separuh harga.

“Ini juga antara usaha kita selesaikan masalah telekomunikasi yang dihadapi rakyat dengan segera.

“Jika ada masalah ‘menara togel’ (menara tanpa perkhidmatan telekomunikasi), beritahu supaya kita dapat selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ucaptama dan perasmian Konvensyen Pemantapan Penerangan Keadilan Selangor di Hotel TH di sini, hari ini.

Pada 2018 Kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan penurunan harga perkhidmatan jalur lebar berikutan pelaksanaan MSAP berkuat kuasa 1 Januari 2018, yang mengenakan harga siling borong bagi pembekal kemudahan dan perkhidmatan digunakan syarikat telekomunikasi di pasaran.


Pengarang :