Nik Nur Jihan Nik Mohd Mukhtar, 39, menggunakan troli untuk membawa barang yang dibelinya di Jelajah Ehsan Rakyat DUN Hulu Kelang di AU3, Keramat pada 2 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sokong kempen bebas plastik, pengunjung jualan murah disaran bawa beg sendiri

Oleh AZIAN AZIZ

HULU LANGAT, 9 FEB: Pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat disaran membawa beg guna semula untuk mengisi barangan yang dibeli walaupun Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membekalkan beg plastik.

Pegawainya Nazira Ahmad berkata barang basah siap dibungkus namun kerjasama pelanggan membawa beg sendiri dapat mengurangkan penggunaan beg plastik untuk mengisi beras dan minyak masak.

Beliau berkata pihaknya akan mengenakan caj 20 sen sekiranya pelanggan meminta beg plastik tambahan untuk mendidik mereka membawa beg sendiri sekali gus menjayakan kempen bebas plastik anjuran Kerajaan Negeri.

“Pengunjung hanya perlu membawa beg sendiri untuk memasukkan barangan jika beli banyak. Jika masih perlukan beg plastik (tambahan) kita kenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg.

“Sebenarnya tanpa beg plastik urusan pembelian akan lebih cepat,’’ katanya ketika ditemui pada jualan murah PKPS di Surau Al-Amin Taman Cheras Prima di sini hari ini.

Sementara itu, Nazira memaklumkan program yang bermula 10 pagi dikunjungi lebih 300 penduduk bagi mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah.

“Telur, ayam, ikan dan daging habis kira-kira pukul 11.45 pagi dan kita benarkan semua barangan dibeli lebih dari satu unit kecuali telur,’’ katanya.

Pada 5 Februari, PKPS melalui Facebook menyarankan pengunjung jualan murah membawa beg sendiri untuk mengisi barangan yang dibeli bagi menyokong kempen bebas beg plastik.

Selangor mula mengharamkan penggunaan beg plastik pada setiap Sabtu sejak 2009 sebelum diperluas kepada tujuh hari seminggu mulai 2017.


Pengarang :