AMPANG JAYA, 4 FEB: Kerajaan Negeri menambah baik tatacara operasi piawai (SOP) di lokasi penganjuran Jelajah Ehsan Rakyat dari semasa ke semasa bagi mengelak kesesakan.
EXCO industri asas tani berkata kaedah disediakan meliputi penyediaan kerusi dan khemah di ruang menunggu selain lorong khas untuk warga emas dan wanita hamil.
Ir Izham Hashim mengakui lokasi jualan berkenaan sentiasa sesak dengan orang ramai untuk mendapatkan barangan asas murah yang memberi penjimatan sehingga RM50 kepada mereka.
“Sebenarnya kita sudah perbaiki SOP dari dulu, cuma disebabkan orang ramai datang terlalu awal walaupun kaunter jualan dibuka jam 10 pagi dan keadaan ini sukar dikawal.
“Kita tidak mampu menyediakan kaunter yang lebih susulan kekangan tenaga kerja. Sebab itu untuk masa depan kita sediakan kerusi dan khemah kepada pihak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Jualan Ehsan Rakyat 2.0 di Dewan Komuniti Taman Nirwana di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.
Dalam pada itu, Izham menjelaskan operasi jualan ditetapkan jam 10 pagi bagi memudahkan PKPS membuat persediaan barangan.
“Berdasarkan pengalaman tahun lepas, waktu itu dilihat sesuai sebab kalau buat terlalu awal dibimbangi ada barangan tidak sampai.
“Insya-Allah kita akan tengok apa lagi penambahbaikan yang boleh dibuat pada masa akan datang,” katanya.
