Tinjauan harga petrol di pam minyak sekitar Shah Alam pada 9 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Subsidi bahan api untuk golongan kaya RM17.8 bilion pada 2022

OLEH FUAD HADINATA YAACOB

SHAH ALAM, 28 FEB: Sejumlah RM17.8 bilion boleh dijimatkan tahun lalu jika golongan berpendapatan tinggi (T20) atau kaya tidak menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Timbalan menteri kewangan mendedahkan penggunaan ketiga-tiga bahan api itu bagi golongan berkenaan adalah 35 peratus, kumpulan berpendapatan rendah (24 peratus) dan sederhana (41 peratus).

“Dari segi angka ialah RM50.8 bilion, kalau darab dengan 35 peratus yang digunakan T20 nilainya RM17.8 bilion. Jika kita tidak mahu lagi T20 mendapat subsidi petrol, diesel dan LPG, kerajaan boleh menjimatkan RM15 hingga RM17 bilion.

“Jadi Ahli Yang Berhormat boleh bayangkan berapa banyak yang kita boleh gunakan untuk bantu rakyat dalam pelbagai urusan di 26 kementerian,” kata Datuk Seri Ahmad Maslan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim sama ada penggunaan pangkalan data bersepadu dalam mekanisme subsidi bersasar benar-benar berkesan.

Ahmad menambah jumlah subsidi diesel pada 2018 dan 2019 adalah RM5.8 bilion hingga RM6.1 bilion, namun subsidi itu meningkat kepada RM8.4 bilion berikutan penggunaannya bertambah.


Pengarang :