Pengasuh melakukan aktiviti membaca bersama kanak-kanak ketika pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Subsidi yuran taska RM180 sebulan untuk isi rumah RM7,000 sebulan

SHAH ALAM, 24 FEB: Putrajaya akan menyediakan subsidi yuran taska RM180 sebulan dan menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah daripada RM5,000 kepada RM7,000.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembinaan 80 taska dan tabika Kemas termasuk 13 projek baharu juga diteruskan bagi memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak.

“Pada masa sama, kerajaan akan memudah cara proses pendaftaran dan memulakan semula program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara.

“Sejumlah RM15 juta disediakan sebagai pinjaman mudah bagi membantu para pengusaha,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru majikan memainkan peranan untuk menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat dan bersetuju melanjutkan insentif cukai sedia ada.

“Jika sambutan daripada majikan kurang menggalakkan, kerajaan akan meneliti keperluan untuk mewajibkan penyediaan kemudahan tersebut demi menyokong ibu yang bekerja,” katanya.


Pengarang :