Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyantuni kanak-kanak di bilik perkhidmatan pediatrik sempena majlis perasmian Hospital Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan minta rakyat dapatkan dos penggalak, perlindungan optimum harungi fasa endemik

KUALA SELANGOR, 9 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat mendapatkan dos penggalak pertama dan kedua bagi perlindungan optimum daripada jangkitan Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyaran perkara itu susulan pergerakan aktiviti fizikal rakyat yang semakin meluas dalam fasa endemik.

“Kesihatan fizikal, mental dan kesejahteraan sosial adalah antara perkara yang terjejas akibat wabak bahaya ini,” titah Baginda dalam majlis perasmian Hospital Tanjong Karang di sini hari ini.

“Beta suka menasihatkan rakyat agar jangan leka dalam menjaga aspek kesihatan fizikal diri sendiri, ahli keluarga, komuniti dan masyarakat sekeliling.”

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menandatangani plak sebagai perasmian pembukaan Hospital Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sultan Sharafuddin bertitah meskipun negara berjaya mengawal penularan, wabak yang tercetus sejak akhir 2019 itu memberi kesan kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Wabak ini bukan sahaja memberi kesan kepada bidang ekonomi malahan dampaknya juga kelihatan dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” titah Baginda.

Sejak 7 Januari lalu, Kerajaan Negeri meneruskan program pemberian suntikan Covid-19 dan dos penggalak secara percuma menerusi program Vaksin Selangor (Selvax).

Program itu mendapat kerjasama 15 rangkaian Klinik Selcare dan THE KL Clinic di negeri ini.


Pengarang :