Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menandatangani plat sempena majlis Perasmian Hospital Sultan Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 28 Februari 2023. Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) dan Menteri Kesihatan Malaysia Dr. Zaliha Mustafa (tiga, kiri). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor berkenan rasmi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah UPM

SERDANG, 28 FEB : Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor hari ini berkenan merasmikan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini yang beroperasi sejak 15 Mei 2019.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tiba di hospital berkenaan pada 10.15 pagi disambut oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Baginda dalam titahnya sukacita dengan penubuhan hospital itu meletakkan UPM dalam kedudukan yang lebih signifikan untuk memberi sumbangan bermakna kepada sektor kesihatan negara.

“Beta dimaklumkan pihak pengurusan hospital turut menubuhkan Tabung Waqaf dan Tabung Kebajikan Pesakit sebagai usaha membantu golongan memerlukan menerima rawatan.

“Beta percaya rakyat Malaysia warga yang prihatin, memiliki sifat penyayang dan sikap bantu-membantu yang tinggi. Kita harus terus berusaha dengan gigih bagi meningkatkan sumbangan ke tabung ini bagi membantu mereka yang memerlukan,” titah Baginda.

Dalam majlis sama, Baginda berkenan menyerahkan sumbangan Dana Wakaf Ambulans sebanyak RM100,000 oleh Pusat Pengurusan Wakaf Ambulans dan Endowmen UPM kepada HSAAS.

Baginda bertitah dengan adanya sumber kewangan yang pelbagai, hospital berkenaan dapat memberi perkhidmatan yang lebih meluas dan inklusif serta tidak tertumpu kepada aspek kesihatan sahaja.

“Beta percaya, pengurusan HSAAS akan terus merancang strategi dan mengambil tindakan untuk menjadikannya sebuah hospital disegani dan sebaris dengan hospital universiti terbaik dunia.

“Kepakaran yang dimiliki akan terus menjadi rujukan kepada pengamal perubatan lain dalam bidang kepakaran masing-masing dari dalam mahupun luar negara,” titah Baginda.

Terdahulu, Baginda berkenaan melawat ke Unit Regional Emergency Stroke Response (RESQ), Jabatan Radiologi dan Tapak Pameran HSAAS UPM.

HSAAS yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Pengajar UPM mula dibina sekitar 2014 meliputi kawasan berkeluasan 95 hektar dan siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun sebelum diserahkan kepada universiti secara rasmi 15 Mei 2019 bagi memulakan operasi sulungnya.

Hospital itu kini mempunyai kapasiti keseluruhan 400 katil dengan menelan kos pembinaan RM600 juta. Operasi pertama telah dibuka melalui perkhidmatan Klinik Perubatan Keluarga pada Oktober 2019.

Hospital berkenaan menyediakan empat kepakaran iaitu perkhidmatan strok, penjagaan prostat, geriatrik dan zoonosis.


Pengarang :