Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sempena majlis perasmian Hospital Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan seru semua pihak bantu individu murung, dorong dapatkan rawatan

SHAH ALAM, 9 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru peranan semua pihak untuk membantu individu yang mengalami masalah kesihatan mental untuk kembali pulih.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mereka yang kemurungan atau keresahan melampau tidak sepatutnya disisih sebalik didorong untuk menjalani rawatan sewajarnya.

“Beta menyeru rakyat semua usahlah mengasingkan atau meletakkan stigma kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan melampau.

“Sama seperti individu mengalami penyakit fizikal, pesakit mental juga perlu dibantu dengan memberi rawatan sewajarnya,“ titah Baginda dalam majlis perasmian Hospital Tanjong Karang di sini hari ini.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan meninjau replika Hospital Tanjong Karang dalam lawatan Baginda berdua di Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sultan Sharafuddin juga menyeru individu yang menghidap masalah terbabit supaya merujuk pakar perubatan bagi mendapatkan rawatan.

Baginda turut meminta rakyat untuk memberi perhatian terhadap penjagaan kesihatan warga emas dan berkeperluan khas.

“Sama-samalah rakyat mengambil tanggungjawab dan kewajipan membantu mereka sekali gus menjadikan kita semua dapat hidup dengan lebih harmoni dan sejahtera.

“Rakyat perlu sentiasa peka kepada keadaan persekitaran dan mendapatkan bantuan kecemasan sekiranya berlaku sebarang musibah kepada orang lain,“ titah Baginda.


Pengarang :