Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan meninjau replika Hospital Tanjong Karang dalam lawatan Baginda berdua di Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan sukacita warga Tanjong Karang ada akses terima rawatan pakar

KUALA SELANGOR, 9 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor hari ini berkenan merasmikan Hospital Tanjong Karang di sini yang beroperasi sejak 10 Oktober tahun lalu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tiba bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin pada 11.30 pagi untuk melawat sekitar hospital berkenaan.

Baginda dalam titahnya sukacita dengan pembinaan kemudahan terbaharu itu bagi memudahkan penduduk sekitar menerima akses perkhidmatan perubatan yang lebih baik serta berkesan.

“Hospital baharu ini menyediakan khidmat perubatan pakar dan memudahkan pesakit mendapatkan perkhidmatan pakar berbanding sebelum ini yang terpaksa bergantung kepada Hospital Sungai Buloh.

“Harapan Beta dengan siapnya hospital ini dapatlah meredakan beban rakyat khususnya di daerah Kuala Selangor,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah pembukaan dewan bedah pertama di hospital terbabit mampu mempercepat waktu menunggu pesakit untuk mendapatkan pembedahan yang kritikal.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Pembinaan Hospital Tanjong Karang diluluskan pada 2013 bawah Rancangan Malaysia ke-10 atas tanah seluas 16.1 hektar membabitkan kos RM269 juta.

Hospital berstatus pakar minor menyediakan 10 perkhidmatan kepakaran secara berfasa meliputi pakar perubatan kecemasan, umum, bedah umum, obstetrik dan ginekologi, pediatrik serta ortopedik.

Perkhidmatan kepakaran lain seperti anestesiologi, radiologi, patologi, pergigian pediatrik dan bedah mulut selain otorinolaringologi, oftamologi, psikiatrik dan perubatan forensik.

Hospital itu juga digabungkan bersama Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam sebagai hospital Kluster Selangor Zon Utara.


Pengarang :