Cut Nasry Tengku Nyak membeli bekalan beras untuk disumbang kepada B40 dan asnaf pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Rawang di pekarangan Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes pada 14 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Suri rumah borong beras di jualan murah, sumbang kepada asnaf, B40

Oleh DIANA ABD WAHAB

SELAYANG, 14 FEB: Seorang suri rumah mengunjungi pelbagai lokasi program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) bagi membeli beras untuk diderma kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan asnaf.

Cut Nasry Tengku Nyak, 47, berkata beliau akan tiba di lokasi jualan murah berkenaan seawal 7 pagi kerana tidak mahu pulang dengan tangan kosong sekiranya datang lewat.

“Semalam saya dan rakan berjaya beli 20 kampit beras dan hari ini kita beli lagi sebanyak tujuh kampit untuk jadikan stok.

“Selain beri pada golongan memerlukan saya juga makan beras yang dibeli pada program ini. Walaupun murah rasanya enak sama seperti beras dijual di pasar raya.

“Beras jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) ini berkualiti dan tidak mudah basi walaupun tidak disimpan dalam peti sejuk,” katanya.

Cut Nasry ditemui pada program JER peringkat DUN Rawang di pekarangan Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes di sini hari ini.

Mohd Jaimis Marahom

Manakala pekerja kilang, Mohd Jaimis Marahom, 51, berkata beliau sanggup beratur lebih sejam walaupun buku lalinya patah akibat kemalangan untuk mendapatkan barangan murah.

“Kini masuk bulan ketiga saya cuti sakit. Majikan sudah tak bayar gaji jadi saya sanggup beratur walaupun kaki bengkak untuk beli barangan keperluan pada harga murah.

“Anak-anak masih bersekolah jadi kami memang kena jimatkan perbelanjaan memandangkan sesi persekolahan baharu akan bermula tak lama lagi. Banyak belanja diperlukan untuk persekolahan anak,” katanya.

Devi Perumal Ratnam

Bagi pesara, Devi Perumal Ratnam, 64, yang pertama kali mengunjungi program tersebut mengakui teruja untuk rasai sendiri pengalaman membeli-belah di situ kerana sebelum ini hanya mendengarnya daripada rakan.

“Saya terkejut kerana saiz ayam dan telur di sini besar namun harganya amat murah. Memang pasar raya tak dapat tandingi potongan harga yang ditawarkan di sini.

“Saya tak kisah walaupun terpaksa beratur kerana berbaloi beli barangan di sini memang banyak saya dapat berjimat,” katanya.

Ng Kok Heng

Seorang lagi pesara, Ng Kok Heng, 60, yang kali kedua membeli pada program itu berkata beliau amat berpuas hati dengan kualiti barang keperluan yang dijual.

“Walaupun harga murah tetapi barang yang dijual berkualiti sama seperti di pasar raya.

“Saya harap Kerajaan Negeri jadikan jualan murah ini program tetap kerana ia memang bantu ringankan perbelanjaan rakyat.

“Di luar tak dapat beli barang dengan harga begini. Program ini memang terbukti bantu rakyat berjimat. Terima kasih kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :