Pengunjung dalam program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Kandis di tapak letak kereta Masjid Al Bakri Bukit Naga, Shah Alam pada 7 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Suri rumah buru jualan murah PKPS, ‘tak terkira berapa kali datang’

SHAH ALAM, 7 FEB: Tidak terkira berapa kali suri rumah Suzana Hashim, 42, mengunjungi program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sejak dua tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu dia bukan saja mengikuti program JER berhampiran kediamannya tetapi juga ‘buru’ program sama di lokasi lain.

Suzana Hashim, 42. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Ia dilakukan kerana harga barangan yang ada dalam program berkenaan murah serta berkualiti.

“Setiap kali JER diadakan di sini, saya pasti datang. Sudah dua tahun saya beli barangan dalam program ini, tak terkira berapa kali saya pergi ke program tersebut.

“Saya juga mengikuti program JER di Dewan Undangan Negeri (DUN) lain biasanya tidak jauh dan berhampiran kawasan rumah sahaja,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui dalam program JER peringkat DUN Sungai Kandis di perkarangan Masjid Al Bakri Kampung Bukit Naga di sini hari ini.

Suzana berkata beliau mengikuti perkembangan jualan murah itu menerusi Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selain sebaran menerusi kumpulan WhatsApps komuniti.

Suri rumah, Afidah Saidon, 39, berkata kali pertama hadir ke program jualan murah itu dia terkejut apabila mendapati kualiti barangan yang ditawarkan setanding dengan produk di pasar raya.

Afidah Saidon, 39. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya sangat terkejut melihat harganya yang murah. Sebelum ini saya memang tidak tahu langsung mengenai program ini, tetapi tergerak hati mahu pergi selepas lihat dalam kumpulan WhatsApps komuniti.

“Saya harap jualan murah ini diteruskan sampai bila-bila, terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.

Program JER menawarkan jualan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Kakitangan PKPS menyusun barangan jualan Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Kandis di Masjid Al Bakri Bukit Naga, Shah Alam pada 7 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di sekitar 56 DUN sebelum ini, dan ia akan diteruskan hingga Mac depan.


Pengarang :