AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Suri rumah sanggup redah jalan sesak untuk beli barang murah PKPS

SUBANG JAYA, 23 FEB: Seorang suri rumah sanggup menempuh perjalanan sesak sejauh 30 minit untuk membeli barangan murah di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara hari ini.

Malah R Pathmani, 63, sanggup bergerak awal supaya segera sampai di lokasi jualan bagi memastikan beliau dapat membeli semua barangan dijual pada program tersebut.

R Pathmani

“Saya tinggal di Taman Mawar Kinrara dan tidak berapa jauh dari lokasi jualan, namun perjalanan agak lama kerana jalan sesak dan mengambil masa.

“Namun, saya dan tiga lagi jiran yang menaiki satu kenderaan tidak kisah kerana ini adalah program baik disediakan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat yang kurang berkemampuan,” katanya pada program tersebut.

Sementara itu, Chan Mei Yong, 64, berkata beliau pertama kali hadir di program itu dan sangat teruja kerana barangan dijual amat murah walaupun ramai beratur menunggu giliran.

Chan Mei Yong

“Saya beli semua barangan dijual di program ini kerana ingin mencuba produk keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terutama beras.

“Program ini perlu diteruskan kerana harga ditawarkan amat murah berbanding di pasaran dan dapat jimat belanja dapur,” katanya.

JER bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif program kendalian PKPS memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.

Orang ramai boleh melayari pautan http://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :