Rosminah Ramli ketika ditemui dalam program jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Kampung Melayu Sungai Buloh pada 9 FEBRUARI 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Suri rumah teruja kunjungi program jualan murah PKPS kawasan terdekat

OLEH DIANA ABD WAHAB

SUNGAI BULOH, 10 FEB: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Negeri sememangnya sentiasa dinantikan orang ramai untuk mmembeli barangan keperluan pada harga murah.

Rata-rata pengunjung hadir seawal jam 7 pagi kerana bimbang terlepas peluang membeli selain teruja mengikuti program terbabit yang memulakan operasi sejak 16 Januari lalu.

Seorang suri rumah, Rosminah Ramli, 59, berkata dia tidak sabar mengunjungi JER setiap kali ia dianjurkan berdekatan kediamannya atau kawasan berhampiran.

Roslina Mohamad ketika ditemui dalam program jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Kampung Melayu Sungai Buloh pada 9 FEBRUARI 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Saya memang suka sangat dengan program ini. Merata tempat saya pergi untuk dapatkan barang murah hinggakan sanggup tanya sesiapa sahaja di mana program dianjurkan kerana saya nak pergi.

“Di kedai minyak masak dijual RM38 sebotol di sini boleh dapat RM25. Jadi memang sangat bantu untuk jimatkan perbelanjaan keluarga. Mudah dapatkan pelbagai barangan tak perlu pergi jauh-jauh semua boleh didapati di sini.

“Tambah pula saya orang kurang upaya (OKU), penganjur beri keutamaan saya beli barang tanpa perlu beratur jadi memang selesa beli barang di sini,” katanya yang sudah tiga kali mengikuti program jualan murah itu tahun ini.

Beliau ditemui pada program jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Kampung Melayu Sungai Buloh di sini, semalam.

Bagi Roslina Mohamad, 58, beliau melihat tatacara operasi piawai (SOP) program JER juga sentiasa ditambah baik penganjur dari masa ke masa.

Suguna Subramaniam ketika ditemui dalam program jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Kampung Melayu Sungai Buloh pada 9 FEBRUARI 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Suri rumah itu berkata proses jualan juga semakin teratur dan kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) cekap menguruskan urusan jual beli meskipun orang ramai beratur panjang.

“Saya harap penganjur boleh tambah had belian kerana kalau keluarga ramai seekor ayam memang tak cukup. Untuk beratur semula memang tak sanggup kerana pengunjung terlalu ramai,” katanya.

Suri rumah, Suguna Subramaniam, 38, pula berkata dia memang ternanti-nanti program jualan murah itu diadakan.

“Ini kali ketiga saya sertai program seumpama ini. Produk yang disediakan sangat berkualiti walaupun harga murah.

“Saya harap JER dapat diadakan setiap bulan di kawasan ini, bagi meringankan beban kami yang berpendapatan rendah membeli barangan keperluan,” katanya.

 


Pengarang :