Reka bentuk Stadium Shah Alam yang akan dibangunkan semula dijangka awal tahun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tabik terakhir stadium keramat, simpan 1,001 nostalgia suka duka

OLEH FAYSAL AMANI

SHAH ALAM, 27 FEB: Stadium Shah Alam – ‘rumah Gergasi Merah’ menyimpan 1,001 nostalgia suka duka. Jasanya cukup besar terhadap pembangunan sukan negara, khususnya bola sepak.

Segalanya bermula apabila stadium itu dibuka secara rasmi menanda era baharu sukan di Malaysia yang merakam banyak sejarah.

Majlis perasmian stadium berkapasiti kira-kira 80,000 penonton yang dibina dengan kos RM460 juta disempurnakan oleh Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada Julai 1994.

Upacara gilang-gemilang itu dihadiri lebih 120,000 orang, 40,000 melebihi kapasiti sehinggakan ribuan penonton terpaksa bersila di trek.

Perlawanan bola sepak pertama di stadium terbesar di Asia Tenggara ketika itu menemukan Pilihan Selangor dan kelab Scotland, Dundee United sejurus upacara pembukaan.

Gelagat penyokong Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Aksi berkesudahan seri 1-1 dengan pemain Dundee, William McKinlay menjadi pemain pertama menggegar jaring gol di Stadium Shah Alam. Gol penyamaan Pilihan Selangor dijaringkan Allahyarham Annuar Abu Bakar.

Perlawanan pertama Selangor bagi saingan Liga Malaysia di stadium keramat itu selepas berpindah dari Stadium Merdeka ialah bertemu Perlis pada 30 Julai 1994. Selangor menang 3-0.

Aksi Selangor bertemu Kedah pada peringkat kumpulan Piala Malaysia 1994 mencatat sejarah apabila pertama kali saingan liga tempatan dibanjiri lebih 80,000 penonton yang memenuhi stadium. Perlawanan berakhir Kedah menang 1-0 hasil jaringan Jan Janostak.

Tahun 1994 juga menyaksikan pertama kali perlawanan akhir Piala Malaysia berlangsung di situ menemukan Singapura dan Pahang. Singa Selatan menang 4-0 menerusi jaringan hatrik Abbas Saad.

Sejarah tercipta

Sejarah turut tercipta pada 1995 apabila skuad Manchester United bimbingan Sir Alex Ferguson turun ke Stadium Shah Alam dalam dua aksi persahabatan dengan Pilihan Selangor.

Pemain bintang ketika itu ialah Peter Schmeichel, Steve Bruce, Gary Neville, Paul Scholes, Nicky Butt, Roy Keane, Lee Sharpe, David Beckham dan Phil Neville.

Bekas pemain pertahanan Selangor Shamsul Amri Abu Bakar (kiri) mengasak bola bersama pemain Manchester United Paul Scholes dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam pada 1995. Foto ARKIB

Perlawanan pertama berkesudahan United menang 4-1, aksi kedua beberapa hari kemudian sekali lagi The Red Devils menang, kali ini 2-0.

Kelab ternama yang pernah beraksi di stadium sama ialah Chelsea, Barcelona, Sevilla, Flamengo, Bayern Munich dan Tottenham Hotspur.

Tahun 1995 hingga 1997 pula tersimpan detik gemilang Red Giants yang menjulang Piala Malaysia tiga kali berturut-turut di Stadium Shah Alam.

Sayangnya rentetan temasya yang gemilang itu telah berlalu. Stadium Shah Alam bukan sahaja berdepan isu keselamatan membabitkan struktur bumbung, malah kemudahan lain dalam keadaan daif.

Beberapa kali peruntukan mencecah puluhan juta ringgit dikeluarkan untuk baik pulih kemudahan stadium dan padang, tetapi tidak bertahan lama berikutan masalah penyelenggaraan sejak sekian lama.

Usia 29 tahun kalau diikutkan sebenarnya ‘masih muda’, tetapi keadaan stadium itu umpama terlalu tua akibat tidak diselenggara dengan baik dan tidak diberi perhatian sewajarnya.

Lantaran itu, Kerajaan Negeri bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengambil langkah membangunkan semula Stadium Shah Alam dan kawasan sekitarnya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sempena pameran awam pembangunan semula KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 10 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

‘Stadium Shah Alam versi baharu’ yang serba moden dijangka siap tiga tahun lagi.

Lebih manis, Selangor FC turut mengabadikan Stadium Shah Alam sebagai inspirasi jersi tuan rumah musim ini bertema ‘Tabik Terakhir’ sebagai mesej penghormatan kepada stadium keramat ini.

Stadium yang akan dibina bermula tahun ini mempunyai kapasiti antara 35,000 hingga 45,000 penonton dilengkapi sistem penyejukan tempat duduk.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan, projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dengan keluasan 76.08 hektar itu bertaraf dunia.

Ia merangkumi 60 peratus keseluruhan kawasan projek pembangunan, selebihnya 40 peratus menempatkan ruang rekreasi awam dan ruang komersial.


Pengarang :