Melly Goeslaw dan suaminya pemuzik Anto Hoed
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Takrifan cinta lewat karya Melly Goeslaw

Oleh Intan Syuhada Akhir

Langkahan ke dunia seni pada 1995 mengubah jalur kehidupan komposer dan penyanyi terkenal Indonesia Melly Goeslaw. Sehingga kini, beliau menghasilkan lebih 500 lagu sama ada yang dinyanyikannya sendiri mahupun dipopularkan artis lain.

Lagunya juga sering menjadi siulan. Lebih-lebih lagi, pemilik nama sebenar Melliana Cessy Goeslaw sering membawa tema percintaan lewat karyanya. Lagu itu antaranya berjudul Jika, Tentang Dia, Ada Apa Dengan Cinta, Ku Bahagia dan Denting.

Dalam tempoh 28 tahun berkarya, ramai penutur bahasa Melayu di Asia Tenggara membesar dengan mendengar lagu-lagu Melly. Lagunya sering kali disulami bait-bait puitis yang indah.

Meski membawa tema sama, lagunya tidak jemu diulang dengar. Justeru, karya gubahannya menjadi malar segar seiring peredaran masa.

Dalam sidang media sempena konsert perdananya di Malaysia baru-baru ini, Melly mendedahkan suaminya pemuzik Anto Hoed selalu menjadi subjek dalam karyanya.

“Jika dalam (filem) Ada Apa Dengan Cinta ramai yang tergila-gilakan Rangga. Namun bagi saya, suami saya adalah seribu kali Rangga. Ini syurga saya.

“Cinta itu unik. Jawapannya boleh jadi bermacam-macam bergantung kepada situasi. Kalau seseorang itu sedang patah hati, dia akan melihat cinta itu sebagai gelap.

“Kalau sedang bahagia, dia akan melihat cinta sebagai warna-warni. Apapun, perkara tentang perasaan ini kadangkala ia tidak boleh diucapkan dengan perkataan,” katanya.

Kalimat cinta tidak hanya dilenggok dalam lagu. Bahkan, Melly di dunia nyata tidak kekok menunjukkan kemesraannya dengan Anto kepada umum walau usia perkahwinan mereka mencecah 27 tahun.

Melly Goeslaw

Pengaruh P Ramlee

Berada di Malaysia bagi menjayakan konsert sulung Ada Apa Dengan Melly? arahan suaminya, mereka juga memberi penghormatan kepada seniman agung negara.

Tatkala mereka menjejak kaki ke negara ini pada November lalu, Melly dan Anto terus ke pusara Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma di tanah perkuburan Jalan Ampang, Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama.

Bagi Melly, kerjayanya sebagai komposer dan pemuzik banyak dipengaruhi karya-karya P Ramlee. Malah, beliau berasakan ada persamaan antara dirinya dan P Ramlee. Mereka berkarya bukan untuk mengejar kemasyahuran anugerah sebaliknya berasa cukup jika dikenang selepas meninggalkan dunia fana ini.

“Saya berasa Malaysia beruntung kerana mempunyai pemuzik yang sangat genius seperti P Ramlee.

“Saya juga memberi syarat kepada penganjur jika mereka ingin melamar saya mengadakan konsert di Malaysia, saya ingin memberi persembahan penghargaan kepada komposer besar itu.

“Syarat seterusnya, saya mahu konsert itu menyatukan dua negara. Saya mahu denyut nadi dua negara dapat dirasakan di konsert itu. Maka, saya bekerjasama dengan pemuzik dan penyanyi Malaysia,” katanya.

Melly juga giat menjalani latihan insentif bagi memastikan kejayaan konsert di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 3 dan 4 Februari.

“Saya mahu bernyanyi secara santai sahaja dan bukannya yang bermain teknik seperti di festival besar. Tahun ini saya berusia 49 tahun. Mahu bernyanyi sehingga 30 lagu memang memerlukan stamina. Jadi, saya banyak melakukan senaman,” jelasnya.

Melly juga meminta penganjur mensyaratkan kod pakaian setiap pengunjung konsertnya. Penonton wajib memakai berseragam sekolah sebagai simbolik mengenang kembali zaman muda ketika filem Ada Apa Dengan Cinta meledak di Malaysia.

“Bagi saya, perkara yang paling indah dalam kehidupan ini ialah memori. Manakala acara paling menarik ialah reunion sekolah. Disebabkan itu, saya ingin mengembalikan nostalgia zaman remaja.

“Konsep itu menarik kerana karya popular saya yang melekat di hati peminat adalah menerusi lagu runut bunyi dua filem legenda iaitu Ada Apa Dengan Cinta dan Eiffel… I’m In Love.

“Apabila menyarung seragam, kita semua setara dan tiada beza,” katanya lagi.


Pengarang :