BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Tambah baik perkhidmatan, MPK komited capai status bandar raya November ini

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 27 FEB: Meningkatkan mutu perkhidmatan asas kepada masyarakat terutama kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam antara tumpuan Majlis Perbandaran Klang (MPK) tahun ini.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata usaha itu sebahagian daripada perancangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan untuk mencapai status bandar raya pada 23 November tahun ini.

Beliau menjelaskan tumpuan lain termasuk menyelenggara lebih banyak infrastruktur, menekankan aspek pengindahan landskap dan menambah baik penguatkuasaan undang-undang dari masa ke masa.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Noraini Roslan (kanan) menyertai aktiviti gotong-royong bersama masyarakat pada program Hari Klang Tanpa Kenderaan di Padang Laman Seni Safari, Klang pada 26 Februari 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang

“Saya yakin Klang boleh menjadi bandar moden dan mampan serba lengkap, nadi pembangunan Selangor dan Malaysia dan contoh model bandar sejahtera untuk didiami, bekerja, belajar serta beriadah.

“Marilah warga Klang, bersama-sama dengan pihak MPK dalam merealisasikan Klang sebagai bandar raya sejahtera, bersih dan aman,” katanya berucap sempena program Hari Klang Tanpa Kenderaan di Padang Laman Seni Safari, Klang, semalam.

Noraini berkata program yang mengetengahkan tema Klang Sihat dan Sejahtera, Ke Arah Bandar Raya Idaman melambangkkan semangat dan jiwa baharu MPK dalam mencapai misi bandar raya tahun ini.


Pengarang :