Lebih 20,000 kes jenayah siber direkodkan di Malaysia sepanjang 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tangani kandungan palsu di media sosial, pastikan keharmonian masyarakat tidak terancam

IPOH, 26 FEB: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menumpukan usaha pada menangani isu kandungan palsu di media sosial berikutan peningkatan ketara bilangan kes tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata sebanyak 35 kes disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pada Januari tahun ini sahaja, berbanding 48 kes sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching. Foto BERNAMA

“Dari tahun 2020 sehingga Januari tahun ini, kes yang disiasat adalah sebanyak 444 dan kita boleh nampak memang ada peningkatan sejak awal tahun ini, jadi mengikut trend itu, sepanjang tahun ini kemungkinan 350 kes disiasat.

“Saya harap rakyat Malaysia lebih celik digital dan jangan membuat kenyataan palsu dan kandungan tidak sesuai. Bagaimana mengawal berita palsu dan ucapan kebencian itu adalah fokus KKD, kami akan menumpukan isu ini supaya memastikan kestabilan dan keharmonian masyarakat tidak terancam,” katanya kepada pemberita semasa sesi walkabout di Medan di Medan Selera Stadium Perak, di sini hari ini.

Teo berkata agensi bawah KKD termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan dipertanggungjawabkan untuk memastikan maklumat yang disebarkan adalah tepat dan segera membuat penafian sekiranya terdapat penyebaran berita palsu.

“Pada masa sama kami melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan bekerjasama dengan penyedia platform media sosial supaya membantu mengeluarkan kandungan-kandungan yang tidak betul.

“Apabila kami mendapati ada berita palsu atau ucapan kebencian kami memang akan memaklumkan penyedia media sosial untuk meminta kerjasama mereka supaya ia tidak viral dan menyebarkan informasi tidak betul.

“Paling penting ucapan kebencian itu tidak boleh ada platform atau peluang dalam media sosial kerana akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata peruntukan RM10 juta bagi geran pengoperasian untuk memperkukuh peranan Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) dalam Belanjawan 2023 dapat menambah baik peranan pusat itu.

Ia sekali gus membantu menyekat pengaliran keluar wang mangsa penipuan dalam talian dengan lebih efektif, katanya.

Katanya NSRC bertindak sebagai pusat respons setempat yang menggabungkan sumber dan kepakaran daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), CyberSecurity Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM), MCMC, institusi perbankan serta syarikat telekomunikasi bagi menerima laporan daripada mangsa penipuan dalam talian.

“Yang paling penting ialah kami hendak menyekat aliran wang itu daripada ke luar negara kerana kebanyakan mangsa yang berputih mata apabila tidak mendapat semula wang simpanan mereka, jadi sekiranya kes berlaku dalam tempoh 24 jam dan institusi bank mendapat maklumat, mereka boleh membuat sekatan terhadap duit tersebut,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :