SHAH ALAM, 12 FEB: Bekalan air bersih ke kawasan terlibat insiden pencemaran bau seakan diesel di muka sauk Loji Rawatan Air Rantau Panjang (LRA Rantau Panjang) sedang dipulihkan secara berperingkat, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pencemaran itu berjaya ditangani dalam tempoh empat jam dengan penyaluran air mentah daripada HORAS 600 dan kolam alternatif KL Larut sebanyak 836 JLH serta meletakkan tiga oil boom dan juga tiga kotak oil pad di kawasan pencemaran tersebut.
Beliau berkata sepanjang LRA dihenti tugas Air Selangor menggerakkan lori air ke kawasan kritikal seperti hospital, pusat dialisis, masjid dan rumah ibadat.
“LRA Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 1.30 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 beroperasi jam 2.15 pagi tadi.
“Ia susulan pengesanan pencemaran diesel di muka sauk keempat-empat LRA tersebut pada jam 9.45 malam semalam yang menyebabkan gangguan tidak berjadual,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Amirudin berkata pengguna boleh merujuk aplikasi dan media sosial Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk maklumat terkini.