Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar dengan penerima surat tawaran Rumah Selangorku sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Sri Perantau, Klang pada 18 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Tidak putus asa mohon Rumah Selangorku, kediaman murah dan strategik

KLANG, 19 FEB: Seorang jururawat tidak berputus asa memohon Rumah Selangorku kerana kediaman itu ditawar pada harga murah selain dibina di lokasi strategik.

Norazura Ahmad, 30, berkata pada 2019 dia sudah membuat pemohonan membeli Rumah Selangorku namun ditolak atas beberapa sebab.

Norazura Ahmad

“Saya tak putus asa. Saya isi lagi beberapa kali dan Alhamdulillah tahun lepas permohonan diterima. Harga ditawar murah berbanding pemaju lain malah lokasi juga di kawasan bandar.

“Ketika tengok rumah contoh, saya sangat tertarik. Kawasan kediaman lengkap dengan kemudahan. InsyaAllah dua tahun lagi saya dapat miliki rumah bandar di Bukit Raja,” katanya kepada Selangorkini.

Lim Hong Kian

Sementara itu mekanik, Lim Hong Kian, 36, berkata penantian bersama isteri untuk memiliki rumah sendiri berbaloi apabila mendapat tawaran Rumah Selangorku Gamelan di Klang dengan harga RM200,000.

“Kalau beli dari tempat lain, saya tak dapat harga ini. Lama saya dan isteri tunggu permohonan lulus. Sebelum ini pernah ditolak tapi kami usaha lagi dan tetap tunggu.

“Projek Rumah Selangorku memang membantu penduduk terutama yang berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri. Harap usaha ini diteruskan,” katanya.

Terdahulu kedua-dua mereka bersama enam individu lain menerima surat tawaran Rumah Selangorku daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena program Jelajah Kita Selangor Penyayang di Pangsapuri Seri Perantau.


Pengarang :