Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika sidang media mengenai serbuan dan tangkapan pusat panggilan sindiket penipuan tawaran kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada 4 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Tiga lelaki warga asing ditahan, bantu kes bunuh penjaga lembu

PUTRAJAYA, 13 FEB: Polis menahan tiga lelaki warga India yang bekerja sebagai pencuci kereta kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemui terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, dekat sini pada 11 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan hari ini berkata tiga lelaki terbabit yang berusia 23, 41 dan 52 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan semalam dan hari ini di Puchong, Selangor.

Dalam serbuan pertama di Kampung Sri Aman, Puchong pada jam 8 malam tadi, polis menahan dua lelaki berusia 23 dan 41 tahun serta merampas tiga telefon bimbit.

Pada jam 2.30 pagi hari ini, polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di Taman Puchong Prima serta merampas sehelai seluar yang mempunyai kesan darah.

Terdahulu, pada 12.05 tengah malam tadi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan Forensik Bukit Aman telah membuat rampasan sebilah parang berhulu hitam berukuran 73 sentimeter di kandang lembu di bawah jambatan lebuh raya lingkaran Putrajaya-Cyberjaya.

Wan Kamarul Azran berkata hasil soal siasat, lelaki berusia 23 tahun itu mengaku terlibat membunuh mangsa, manakala individu berusia 41 tahun pula tidak mengaku terlibat.

“Motif pembunuhan disyaki disebabkan mangsa mempunyai hubungan sulit dengan teman wanita seorang daripada lelaki yang ditahan,” katanya.

Semua suspek direman tujuh hari hingga Ahad ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata bedah siasat terhadap mangsa yang merupakan penjaga lembu itu telah dijalankan 10 pagi tadi di Jabatan Forensik Hospital Serdang.

Semalam, polis mengklasifikasikan penemuan mayat lelaki yang terapung di tasik itu sebagai kes bunuh.

Wan Kamarul Azran dilaporkan berkata hasil siasatan mendapati terdapat unsur jenayah melalui pemeriksaan dan mengesan lima tetakan di kepala dan pergelangan tangan kiri mangsa yang hampir putus.

– BERNAMA


Pengarang :