SHAH ALAM, 7 FEB: Timbalan menteri belia dan sukan berpuas hati dengan sesi libat urus yang dilaksana Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk meraih idea orang awam sebelum projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dimulakan.
Adam Adli Abdul Halim menyeru orang ramai khususnya rakyat Selangor untuk terus memanfaatkan peluang berkenaan dengan memberi idea terhadap projek pembangunan meliputi stadium negeri yang dijangka bermula suku pertama tahun ini.
“Kita tidak nafikan akan ada maklum balas berbeza, tetapi inilah peluang untuk masyarakat berbuat demikian kerana idea-idea orang ramai terutama belia sangat menarik.
“Saya juga berharap pihak terbabit dapat teliti sebaiknya (cadangan) yang dikumpulkan dan diteruskan (pembangunan semula) mengambil kira keperluan terkini. KBS terbuka untuk sebarang sesi libat urus lebih mendalam pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Selangorkini hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau ruang pameran pembangunan semula projek di pusat beli-belah SACC Mall di sini bersama Pengurus Besar Unit Projek Khas MBI Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz dan Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan.
Menurut Adam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berhubung dengan pihak terlibat dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklum balas projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).
“Di peringkat KBS, kita tentu sekali teruja (pembangunan semula KSSA) dan akan terus berhubung dengan MBI serta pemaju MRCB.
“Pembangunan kompleks sukan dan sebagainya bagus untuk kita adakan keterlibatan menyeluruh. Saya menghargai kesudian MBI serta MRCB yang menjadi antara pihak penting dalam projek kepentingan awam,” katanya.

Bermula 26 Januari hingga 10 Februari, MBI menganjurkan sesi libat urus bagi memberi maklumat tepat berkaitan cadangan projek KSSA selain mendapatkan maklum balas orang ramai.
Orang ramai juga berpeluang mendapat gambaran sebenar perkembangan projek seluas 76.08 hektar.