Pasukan UiTM Lioness yang muncul juara kejohanan bola sepak wanita lima sebelah Liga Super Wanita anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada 4 Februari 2023. Foto FAS
AGENDASUKANKINI

UiTM Lioness ungguli saingan bola sepak wanita lima sebelah FAS

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 5 FEB: UiTM Lioness muncul juara kejohanan bola sepak wanita lima sebelah Liga Super Wanita anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semalam.

Pegawai pembangunan bola sepak wanitanya berkata kejohanan secara format liga itu disertai lima pasukan daripada Liga Super Wanita FAS (FASWSL) manakala dua pasukan lagi dari liga sosial.

“Daripada tujuh, lima pasukan akan bertanding dalam FASWSL 8 Februari nanti, manakala dua pasukan lagi dari liga sosial. Perancangan kami untuk tarik lebih penyertaan daripada pasukan luar sebagai galakan bagi pemain wanita tampil dalam pelbagai kejohanan.

“Selain itu, tujuan penganjuran kejohanan secara santai ini juga untuk eratkan silaturahim antara pemain dan pasukan yang bertanding, sekaligus dapat mempromosikan liga yang akan bermula Rabu depan,” kata Felicity Agnes.

Pada kejohanan tersebut, FC SpiceGals menduduki tempat kedua di belakang UiTM Lioness manakala SSS Leopard ketiga. Juara dan naib juara membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan RM150.

Klinik Bola Sepak Wanita FASWSL turut dianjurkan serentak pada kejohanan di Padang Latihan FAS, Seksyen 5, Shah Alam.


Pengarang :