Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama pelajar dan warga Unisel ketika Syarahan Reformasi Pendidikan untuk Kesejahteraan masa depan Malaysia di Unisel Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Unisel jadi IPT tempatan pertama dikunjungi PM

SHAH ALAM, 10 FEB: Universiti Selangor (Unisel) tajaan Kerajaan Negeri menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan pertama dikunjungi perdana menteri semalam.

Pengarah komunikasi korporat Unisel berkata kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil disambut lebih 4,000 tetamu termasuk pelajar.

“Ini merupakan kunjungan rasmi pertama selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 tahun lalu. Kunjungan ini sememangnya dinantikan warga Unisel.

“Sebelum ini Anwar pernah tiga kali berkunjung ke Unisel iaitu pada 2009, 2018 dan 2022,” kata Hasril Abu Hassan menerusi kenyataan di Facebook.

Menurut beliau, selain memberi syarahan bertajuk Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia, perdana menteri juga melancarkan simbolik perasmian Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil dan Yayasan Unisel yang ditubuh bagi membantu pelajar.

Semalam, Anwar mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Kursi dan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil yang ditubuhkan Unisel tahun lalu bagi menggalak wacana keharmonian dan kesederhanaan.

Bagi melengkapkan penubuhan kursi terbabit, Kerajaan Negeri memperuntuk RM5 juta sebagai menghargai ilmuwan berkenaan yang banyak berjasa kepada negara dalam memartabatkan bahasa Melayu dan agama Islam.


Pengarang :