Seorang anggota tentera yang bertugas di Unit Komando dikhuatiri lemas di kawasan perairan Pulau Undan, Melaka pada 7 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Usaha kesan anggota tentera dikhuatiri lemas, APMM minta bantuan Indonesia

MELAKA, 9 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memohon bantuan Indonesia bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota komando yang dikhuatiri lemas ketika latihan menyelam di perairan Pulau Undan, Selasa lepas.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata perkara itu dimaklumkan menerusi Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC), Putrajaya kepada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia.

“Ia berikutan terdapat kemungkinan mangsa dihanyutkan ke perairan negara jiran itu berdasarkan data dan maklumat Sistem Pencarian dan Penyelamat Optimal (SAROPS).

“Operasi mengesan mangsa berusia 25 tahun itu memasuki hari ketiga hari ini dan bermula pada 7 pagi tadi meliputi sektor pencarian di kawasan seluas 1,040 kilometer persegi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Iskandar berkata sebanyak 18 aset diatur gerak ke lokasi pencarian terdiri daripada 15 aset laut dan tiga aset udara melibatkan 175 orang anggota dari pelbagai agensi.

“Kawasan pencarian dipecahkan kepada lapan sektor bagi aset di laut dan dua sektor bagi aset di udara untuk memudahkan kerja pencarian.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 beroperasi secara 24 jam bagi membantu operasi,” katanya.

Katanya, pangkalan hadapan CARILAMAT (PHC) dibuka di Pulau Besar dengan penglibatan pelbagai agensi sahabat iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam kejadian kelmarin dilaporkan mangsa yang merupakan anggota Tentera Darat dipercayai daripada Rejimen Gerak Khas (Komando), L/Kpl Edrin Baintim, 25, dikhuatiri lemas ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

– BERNAMA


Pengarang :