Orang ramai menunggu giliran untuk membeli barangan dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong bersebelahan Surau Al Amin, Taman Cheras Prima, Kajang pada 9 Februari 2023. Foto AZIAN AZIZ
ADNAGENDANASIONALSELANGOR

Wakil rakyat Balakong bekalkan beg kepada pengunjung jualan murah

Oleh AZIAN AZIZ

KAJANG, 9 FEB: Wakil rakyat Balakong akan membekalkan beg kepada pengunjung program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di kawasannya selepas ini bagi menyokong kempen mengurangkan penggunaan beg plastik.

Wong Siew Ki berkata beg tersebut sebenarnya pernah diberikan dalam beberapa program anjurannya termasuk JER tahun lepas.

“Dalam beg itu saya turut masukkan beberapa risalah inisiatif Kerajaan Negeri agar orang ramai tahu bentuk bantuan yang diberikan kepada mereka.

“Hari ini saya tidak sempat sediakan beg tersebut,” katanya ketika ditemui dalam Program JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong bersebelahan Surau Al-Amin di Taman Cheras Prima di sini hari ini.

Sementara itu menurut Siew Ki sehingga Mac ini, pihaknya dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menganjurkan dua lagi program JER di Cheras Jaya dan Bandar Damai Perdana.

“Program hari ini pula merupakan program JER pertama bagi DUN Balakong tahun ini dan sambutan yang diberikan penduduk amat menggalakkan.

“Lebih 300 pembeli datang dari 7.30 pagi hingga 11.45 pagi dan barangan seperti telur, ayam, daging dan ikan habis dijual,” katanya.

Inisiatif jualan murah kendalian PKPS diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini.

Antara produk ditawarkan ialah ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :