Oleh Shamz Johan
AMPANG JAYA, 25 FEB: Abdul Aziz Ali, 62, tidak menyangka warung roti canai yang diusahakan lebih 43 tahun menjadi pilihan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad untuk bersarapan pagi ini.
Mengakui terharu dan gementar, warga emas yang mesra dengan panggilan Pak Ajis berkata pelanggan tetapnya juga terkejut lokasi sarapan mereka dikunjungi pemimpin nombor satu negeri.

“Saya gementar selepas dimaklumkan mengenai kunjungan tersebut, risau tentang persiapan dan keadaan warung untuk menyambut kehadiran Menteri Besar.
“Saya terharu apabila beliau sudi meluangkan masa berjumpa rakyat. Apapun, saya tidak akan lupakan kenangan dan detik istimewa dapat berbual dan bergambar bersamanya,” katanya sambil tersenyum.
Amirudin yang bersarapan roti canai dan teh tarik bersama isteri turut disertai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim, Timbalannya Julaiha Jamaludin dan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir.

Selesai sarapan, Amirudin ke Jelajah Pasar Rakyat di Pasar Tani Taman Melawati dan meluangkan hampir sejam melawat gerai-gerai yang dibuka.
Seorang peniaga akui teruja ketika Amirudin mencuba kerepek pisangnya sebelum membeli beberapa bungkus.
“Beliau kata sedap dan sempat membeli beberapa bungkus. Bagi saya, beliau sangat mesra dengan rakyat, kita juga tidak rasa kekok bertemu dengannya,” kata Rohana Yusof yang juga merupakan usahawan bawah Lembaga Zakat Selangor.
Terdahulu, Amiruddin menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati, usai solat subuh berjemaah.
