ADNSELANGOR

Warga Taman Medan dipelawa mohon baucar beli-belah sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 2 FEB: Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah dipelawa memohon baucar beli-belah RM200 sempena Aidilfitri.

Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Medan memaklumkan permohonan baucar Jom Shopping itu dibuka kepada warga tempatan beragama Islam serta pengundi yang bermastautin di kawasan berkenaan.

“Borang permohonan boleh diambil di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Medan dan perlu membawa dokumen seperti salinan kad pengenalan, salinan slip gaji atau akuan pendapatan.

“Kuota adalah terhad dan hanya seorang sahaja layak menerima baucar bagi setiap keluarga. Permohonan yang berjaya akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas,” katanya di Facebook.

Katanya, program bantuan secara tahunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak 2012 khusus untuk golongan berpendapatan rendah di Selangor.

“Ia merupakan program bantuan bersempena tiga perayaan utama iaitu, Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali yang mana setiap keluarga kurang berkemampuan akan menerima baucar dan boleh membuat pembelian barangan keperluan bernilai RM200 di pasar raya terpilih,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kadar baucar Jom Shopping Perayaan dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 setiap keluarga.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri menganggarkan 82,400 penerima bagi program ini yang akan diperuntuk sebanyak RM16.8 juta.


Pengarang :