Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyerahkan sumbangan penghargaan kepada waris pencipta lagu rasmi Selangor, Allahyarham Saiful Bahri Alias sempena Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Waris pencipta lagu rasmi Selangor terima rumah sebelum Aidilfitri

GOMBAK, 25 FEB: Urusan penyerahan rumah kepada waris pencipta lagu rasmi Selangor dijangka selesai sebelum Aidilfitri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata maklum balas status penyerahan hadiah rumah bernilai RM1 juta kepada waris Allahyarham Saiful Bahri Elias sudah dibuat pada Disember lepas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Gombak di Tapak Bazar Ramadan Taman Melawati, Gombak pada 25 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Disember lepas kita sudah sampaikan maklum balas. Mungkin diperlukan sedikit masa untuk memastikan rumah itu sempurna baru kita berikan.

“(Hadiah itu) memang kita bukan rancang daripada awal, itu memang idea saya secara persendirian, insha-Allah kita boleh tunaikan dalam masa terdekat,” katanya yang turut menambah Kerajaan Negeri menawarkan rumah di Setia Alam dan Shah Alam untuk dipilih oleh waris.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Gombak di tapak bazar Ramadan, Taman Melawati di sini hari ini.

Pada 30 Ogos lalu, waris pencipta lagu rasmi Selangor menerima rumah bernilai RM1 juta dari Kerajaan Negeri sebagai penghargaan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun lalu.

Pemuzik yang mencipta seni kata lagu Negaraku dan lagu negeri Selangor Duli Yang Maha Mulia serta Melaka meninggal dunia pada 1976 ketika berusia 52 tahun.


Pengarang :