Eksekutif Kebajikan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Muhammad Zubair Azizan menyerahkan sumbangan kepada tiga keluarga mangsa kebakaran di Jalan Tempayan Emas 1, Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh pada 13 Februari 2023. Foto Facebook Yayasan Islam Darul Ehsan
AGENSISELANGOR

Yide hulur RM500, barang keperluan kepada mangsa kebakaran di Paya Jaras

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 14 FEB: Tiga keluarga mangsa kebakaran di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh pada 10 Februari menerima sumbangan RM500 setiap keluarga daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) semalam.

Kesemua mereka turut menerima pek kasih Yide yang mengandungi barangan keperluan harian yang disampaikan Eksekutif Kebajikan Yide Muhammad Zubair Azizan .

“Alhamdulillah Yide telah menyerahkan infaq dana musibah kepada golongan sasar yang telah disalurkan orang awam. Terima kasih kepada yang telah menyalurkan infaq dana musibah,’’ kata Yide di Facebook.

Kebakaran kira-kira jam 5 petang yang melibatkan tiga kediaman memusnahkan harta benda termasuk kelengkapan perabot, barang niaga dan motosikal.

Kesemua tiga keluarga yang terdiri daripada 15 orang itu kini berteduh di pusat pemindahan sementara Balai MPKK Paya Jaras.

Sehubungan itu Yide mengalu-alukan orang ramai yang ingin membantu mangsa musibah agar melaksanakan Infaq di pautan pay.infaqyide.com.my


Pengarang :