AGENSISELANGOR

Yide sasar kutipan kupon infaq yatim Ramadan RM2 juta

SHAH ALAM, 3 FEB: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyasarkan kutipan kupon infaq yatim sebanyak RM2 juta sepanjang Ramadan tahun ini.

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata kutipan yang akan membantu anak yatim itu akan dilaksanakan di sembilan daerah negeri ini iaitu Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Kuala Langat, Sepang, Klang, Petaling, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

“Yide ingin mengajak orang ramai untuk bersama-sama infaq dan membantu anak-anak yatim.

“Diharap infaq yang diberikan kepada anak-anak yatim ini dapat mengukirkan senyuman mereka,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata kutipan kupon infaq yatim bernilai RM2 dibuat dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan ketua penolong amil fitrah serta penolong amil fitrah sebagai alternatif orang ramai menyalurkan infaq sepanjang Ramadan.

“Dijangka bermula minggu hadapan Yide akan turun ke setiap daerah untuk memberi taklimat,” katanya.

Kupon infaq ini adalah salah satu alternatif kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan mereka kepada golongan memerlukan seperti anak yatim.


Pengarang :