AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Zoo haiwan peliharaan antara pengisian menarik Jelajah bantuan rakyat di Gombak Sabtu ini

SHAH ALAM, 20 FEB: Zoo haiwan peliharaan, pertunjukan burung nuri terbang bebas dan jualan aneka makanan antara pengisian menarik buat pengunjung Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Gombak pada Sabtu ini.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memaklumkan program mulai 9 pagi hingga 5 petang di tapak bazar Ramadan Taman Melawati turut membawa kesemua program Iltizam Selangor Penyayang (ISP)  untuk manfaat semua secara percuma.

“Ayuh warga Gombak. Kita manfaatkan cuti persekolahan dengan mendapatkan pelbagai inisiatif yang dibawakan khas Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Petugas kesihatan mengambil sampel darah pengunjung program Selangor Saringan sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Sri Perantau, Klang pada 18 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

JKSP yang membuka tirainya di Klang dan Hulu Selangor pada minggu lalu menjadi pendekatan Kerajaan Negeri untuk menghebahkan 44 program ISP kepada rakyat.

ISP disusun semula daripada Inisiatif Peduli Rakyat menerusi peruntukan RM600 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Pakej bantuan rakyat itu menggariskan enam insiatif iaitu Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor, Iltizam Kesihatan Selangor, Iltizam Pendidikan Selangor, Iltizam Perumahan Selangor, Iltizam Keusahawanan Selangor dan Iltizam Mesra Anak Selangor.

Foodtrucks disediakan sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Oasis Batang Kali, Hulu Selangor pada 19 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :