EXCO Perumahan Rodziah Ismail (dua kiri) menandatangani plag bagi perasmian projek fizikal bandar berdaya huni (SDGS 11) di Pangsapuri Cemara Taman Bukit Segar Jaya Cheras pada 4 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

11,000 JMB pangsapuri kos rendah, sederhana diminta daftar e-Ceria, eCOB

OLEH AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 5 MAC: Kerajaan Negeri meminta kerjasama kira-kira 11,000 Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri strata kos rendah dan sederhana di negeri ini agar mendaftar dengan Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (e-CERIA) dan Unit Pesuruhjaya Bangunan (eCOB).

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata hingga kini tidak sampai 10 peratus daripada 12,000 JMB di negeri ini berbuat demikian.

“Kadangkala masalah dialami penduduk pangsapuri antaranya bumbung pecah, lif rosak, rumah sampah tidak berfungsi dengan baik tidak sampai kepada Kerajaan Negeri.

“Jika mendaftar dengan skim e-CERIA serta eCOB, JMB dapat bagi gambaran menyeluruh kepada Kerajaan Negeri berapa anggaran yang diperlukan untuk baik pulih kerana sebelum ini main agak sahaja. Yang telah daftar eCOB perlu daftar e-Ceria,” kata beliau.

Rodziah berkata demikian selepas merasmikan Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni (SDGs11) Negeri Selangor di Pangsapuri Cemara 1 dan 2 di Taman Bukit Segar di sini semalam.

Menurut beliau apabila gambaran menyeluruh mengenai jumlah peruntukan yang diperlukan diperolehi sudut perancangan dan tadbir urus akan menjadi lebih baik.

“Dengan Skim e-Ceria tidak akan ada lagi isu maklumat tak sampai dan sebagainya selepas ini,” katanya.

Skim e-CERIA diwujudkan dengan objektif untuk membaik pulih kerosakan harta bersama pangsapuri kos rendah dan sederhana di Selangor.

ECOB pula bertindak sebagai sistem berpusat untuk menyimpan semua data secara digital yang berkaitan kawasan pembangunan berstrata, pengurusan maklumat JMB dan Perbadanan Pengurusan (MC).


Pengarang :