EXCO Perumahan Rodziah Ismail meninjau kebun komuniti projek fizikal bandar berdaya huni (SDGS 11) di Pangsapuri Cemara Taman Bukit Segar Jaya Cheras pada 4 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

12 pangsapuri kos rendah, sederhana akan dipilih untuk dinaik taraf di Selangor

Oleh AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 4 MAC: Sebanyak 12 pangsapuri kos rendah dan sederhana akan dipilih untuk dinaik taraf kemudahan melalui Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni (SDGs11) Negeri Selangor tahun ini.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata pemilihan pangsapuri akan dicadangkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Kita ada peruntukan RM2 juta untuk projek ini dan setiap PBT mendapat banyak permohonan untuk tahun ini.

“Sekarang mereka sedang senarai pendek permohonan kerana setiap PBT hanya boleh cadang satu permohonan,” katanya ditemui selepas merasmikan SDGs11 Negeri Selangor di Pangsapuri Cemara 1 dan 2 Taman Bukit Segar di sini hari ini.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail ketika majlis perasmian projek fizikal bandar berdaya huni (SDGS 11) di Pangsapuri Cemara Taman Bukit Segar Jaya Cheras pada 4 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mengenai Pangsapuri Cemara, Rodziah berkata beliau berpuas hati dengan projek naik taraf yang siap dilaksanakan dengan kos RM160,000.

Katanya ini adalah projek perintis untuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada tahun lalu dan berjaya disiapkan dalam tempoh empat bulan sahaja.

“Cadangan mereka ialah untuk naik taraf taman permainan kanak-kanak serta menyediakan ruang kecergasan untuk penduduk dan saya kagum dengan ruang sedikit mereka dapat sediakan semua itu. Alhamdulillah peruntukan yang diberikan telah digunakan sebaik mungkin,” katanya.

Selain menaik taraf taman permainan kanak-kanak dan menyediakan ruang kecergasan, peruntukan itu turut digunakan untuk menurap jalan, membaiki lampu jalan dan membuat palang keselamatan.


Pengarang :