EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail melihat model Rumah Selangorku di Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat Sepang di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana pada 11 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

120,000 mohon Rumah Selangorku, lebih sekali ganda sasaran negeri

Oleh NORRASYIDAH ARSHAD

SEPANG, 11 MAC: Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) merekodkan hampir 120,000 senarai menunggu bagi memiliki Rumah Selangorku.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata jumlah itu melebihi sekali ganda daripada sasaran Kerajaan Negeri yang merancang membina 60,000 unit rumah mampu milik itu menjelang 2025.

“Kita sasarkan kalau 2025 boleh sediakan separuh kepada mereka yang benar-benar layak ini, itu sudah memadai.

“Dalam 120,000 individu yang menunggu ini, ada antara mereka mampu membeli rumah harga bebas. Jadi kita akan teliti permohonan untuk Rumah SelangorKu,” katanya pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Sepang hari ini.

Menurut Rodziah, kategori Rumah Idaman dan Harapan menjadi pilihan kebanyakan pembeli memandangkan harga ditawar murah namun lengkap dengan pelbagai kemudahan.

“Rumah jenis ini lengkap dengan separa perabut antaranya pendingin hawa, kabinet dapur, televisyen dan peti ais.

“Dalam tempoh dua tahun ini, kita jangkakan 42,000 rumah Idaman siap dibina. Jadi saya gesa pemaju untuk pastikan tiada projek terbengkalai atau tak siap,” katanya.

Pada Februari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan 65,000 unit Rumah SelangorKu kategori Idaman dan Harapan diluluskan sejak 2018.

Daripada jumlah itu 24,000 unit dalam proses kebenaran merancang, 6,500 masih dibina manakala 2,400 siap dibina di Kajang dan Bangi.


Pengarang :