Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 19 MAC: Sebanyak 14 komuniti membawa pulang hadiah wang tunai RM28,000 apabila memenangi pertandingan Kejiranan Hijau Zon Bersih Mini (Mini Zee Bee) anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Diraikan pada majlis apresiasi di Pusat Konvensyen MBSA di sini semalam, tiga persatuan penduduk memenangi kategori Zamrud (satu bintang) dengan masing-masing menerima RM1,000 beserta sijil penghargaan.
Sementara itu, lapan persatuan penduduk memenangi kategori Delima (dua bintang) dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan sijil penghargaan.
Manakala, tiga lagi persatuan penduduk memenangi kategori Berlian (tiga bintang) dengan masing-masing menerima wang tunai RM3,000 beserta sijil penghargaan.
Acara penyampaian hadiah disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Pemenang kategori Berlian dan Anugerah Khas Datuk Bandar Shah Alam, Persatuan Penduduk Tanjung Api-Api dari Jalan Kebun menyifatkan kemenangan itu sebagai satu pengiktirafan atas kesungguhan penduduk.
Pengerusi Persatuan Penduduknya Mat Zin Karim, 60, mengakui usaha keras mereka menjayakan empat projek agro berbaloi apabila memenangi kedua dua anugerah itu.
“Kami laksanakan projek tanaman bunga ros jepun, buah zaitun, keli salai dan kebun komuniti. Pastinya kami berbangga semua projek ini mampu jana keuntungan yang kemudiannya disalurkan kembali untuk bangun dan majukan komuniti setempat.
“Kesemua projek yang kami jalankan menarik minat ramai pihak sehingga pernah dikunjungi pelancong dari luar negara antara Indonesia, Bangladesh dan Filipina,” katanya.
Bagi Persatuan Penduduk Desa Impian Merbau Sempak, Sungai Buloh yang memenangi kategori Delima terharu usaha membangunkan komuniti dengan menyediakan perpustakaan bergerak menerima pengiktirafan.

Pengerusinya Ahmad Sutan, 65, yang juga pesara guru berkata sebuah van diubah suai menjadi perpustakaan mini yang dikenali sebagai ‘Library Cikgu’ mampu menempatkan 1,000 buku.
“Library Cikgu ini wujud kerana mahu menerapkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak di kawasan kejiranan dan kami berjaya adakan aktiviti setiap hujung bulan bersama penduduk dan pelajar sekolah,” katanya yang turut mengakui jiwa seorang pendidik masih tebal dalam diri biarpun sudah 40 tahun bersara.
“Alhamdulillah usaha kami dapat sokongan daripada Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon 23, Mariam Abdul Rashid sehingga kami dapat adakan aktiviti setiap hujung bulan bersama penduduk dan pelajar sekolah.”
Program Mini Zee Bee mula diperkenalkan pada 2013 kepada semua MPP Zon di bawah pentadbiran MBSA.