Kakitangan SWM Environment Sdn Bhd menjalankan misi bantuan pasca banjir di kawasan terjejas dengan banjir di Segamat, Johor pada 6 Mac 2023. Foto Facebook SWM Environment Sdn Bhd
AGENDANASIONAL

160,000 kilogram sisa, sampah sarap dikumpulkan di Johor sejak banjir minggu lalu

JOHOR BAHRU, 7 MAC: Sebanyak 160,000 kilogram sisa dan sampah sarap dikumpulkan di negeri ini akibat banjir setakat ini sejak bah melanda minggu lalu.

Ia berikutan kerja pembersihan oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) melalui operasi bantuan banjir yang mula melaksanakan Inisiatif Pembersihan Pasca Banjir.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata walaupun bencana banjir masih melanda beberapa daerah setakat ini, kerja pembersihan di enam daerah yang kawasannya mulai pulih dan surut, sudah dimulakan.

Katanya kerja pembersihan kawasan terjejas banjir dilakukan secara berperingkat membabitkan Kluang, Segamat, Johor Bahru, Kulai, Mersing dan Kota Tinggi, lapor Berita Harian.

“Kerja pembersihan menerusi Inisiatif Pembersihan Pasca Banjir itu dilaksanakan hampir 100 anggota barisan hadapan pengurusan sisa pepejal dengan sokongan 30 kenderaan berjentera.

“Ia membabitkan lori Open Tipper, lori Roll-On Roll-Off (RORO) dan jentolak melalui jalinan kerjasama dengan Pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor serta pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata SWM Environment telah memulakan operasi bantuan banjir melalui perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di hampir 220 pusat pemindahan sementara (PPS) negeri itu.

Katanya ia termasuk PPS yang terletak di luar kawasan perkhidmatan syarikat konsesi sejak bencana banjir melanda Johor.


Pengarang :