SMUE diperkenalkan bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

1,724 ahli SMUE DUN Sungai Tua terima baucar beli-belah RM150

OLEH AZIAN AZIZ

SELAYANG, 6 MAC: Sebanyak 1,724 baucar Jom Shopping diagihkan kepada penerima berdaftar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sejak Januari lalu hingga minggu lepas.

Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Tua Maimon Misman berkata pihaknya masih menunggu 2,276 warga emas yang telah mendaftar untuk mengambil baucar berkenaan.

“Tahun ini seramai 4,000 warga emas berdaftar layak menerima baucar dan mereka boleh datang ke pejabat PKM DUN Sungai Tua untuk mengambil baucar tersebut setiap hari Isnin hingga Jumaat,” katanya.

Ujar Maimon sejak Januari hingga minggu lalu pihaknya menerima kira-kira 400 pendaftaran baharu SMUE.

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian.

Bermula tahun ini, nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan jumlah sama turut diberi kepada peserta Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) melibatkan peruntukan RM37.5 juta.


Pengarang :