Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 14 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

18,740 unit kuarters guru tidak dihuni, KPM tunggu laporan kajian perunding hartanah

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Sejumlah 18,740 unit kuarters guru milik Kementerian Pendidikan (KPM) tidak diduduki daripada jumlah keseluruhan 47,947 unit.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ting berkata KPM telah melantik perunding hartanah untuk menjalankan kajian merangkumi cadangan penyelesaian bagi mengoptimumkan penggunaan kuarters guru tidak berpenghuni di seluruh negara.

Beliau berkata kajian itu dijangka selesai akhir bulan depan.

“Kita menunggu laporan kajian daripada perunding hartanah dan akan merancang tindakan seterusnya untuk mengoptimumkan penggunaan kuarters ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Lim menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai jumlah kuarters guru dan perancangan kementerian untuk baik pulih dan selenggara kuarters guru yang uzur.

Sementara itu, KPM sedang meneliti cadangan pengagihan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk dikreditkan secara terus ke dalam akaun murid berikutan terdapat isu kecuaian dan kecurian membabitkan pengagihan wang bantuan berkenaan.

Lim berkata ia juga bagi memastikan kemudahan kepada ibu bapa supaya tidak perlu hadir ke sekolah bagi mengambil wang tersebut.

“Bagaimanapun, cadangan ini perlu mengambil kira kesediaan pihak bank dan kesukaran murid di pedalaman yang memerlukan kos tinggi bagi membuat urusan di bank,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai mekanisme terbaik mengatasi masalah pengurusan wang BAP.

Selain itu, Lim memaklumkan KPM akan memohon pihak sekolah untuk membuat pemulangan lebihan wang bantuan berkenaan sebelum 31 Julai ini setelah sekolah mengesahkan semua murid yang layak telah menerima BAP.

– BERNAMA


Pengarang :