Sebahagian peserta yang menyertai program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan menggunakan pelbagai kenderaan mikromobiliti sebagai menyokong Hari Keselamatan Kenderaan Mikromobiliti Kebangsaan 2023 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 11 Mac 2023. Foto MBSA
PBTSELANGOR

2,000 pengunjung meriahkan Hari Keselamatan Kenderaan Mikromobiliti Kebangsaan 2023

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 14 MAC: Kira-kira 2,000 warga Shah Alam memeriahkan Hari Keselamatan Kenderaan Mikromobiliti Kebangsaan 2023 di Dataran Kemerdekaan pada 11 Mac lalu.

Bahagian korporat dan perhubungan awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata program bertujuan mempromosikan sistem pengangkutan awam yang lebih jimat mudah dan mampan.

“Penganjurannya bertujuan mempromosikan penggunaan mikromobiliti sebagai kenderaan batuan pertama dan akhir (first and last mile) yang lebih selamat.

“Program ini mendapat kerjasama Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS),” katanya dalam kenyataan.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Dato’ Hasbi Habibollah dan turut dihadiri Datuk Bandar Shah Alam Dr. Nor Fuad Abdul Hamid.

Kenderaan mikromobiliti adalah kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia atau gabungan sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia dan mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam.

Dalam pada itu katanya pelbagai acara yang diadakan mendapat sambutan dan penyertaan orang ramai antaranya Fun Ride, kayuhan santai, ‘Fun Walk’, senamrobik, persembahan tarian kebudayaan, persembahan kombo MBSA dan cabutan bertuah.

Ujarnya MBSA juga menyediakan aktiviti untuk kanak-kanak seperti Klinik Sukan, Inflatable Balloon, Aktiviti Kraf di Perpustakaan Bergerak Anggerik Vanilla, Parrot Brothers, Pet Corner dan permainan interaktif.

“Turut mendapat sambutan program ‘Eco Free Market’ yang merupakan penyaluran dan edaran semula barangan terpakai secara percuma.

“Melalui program ini pengunjung boleh menukar barang kitar semula seperti botol air, botol kaca, tin dan surat khabar lama dengan kupon barangan yang ditawarkan oleh penyumbang di ‘Eco Free Market’,” katanya.

 


Pengarang :