Suasana di dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

20,003 permohonan pertukaran guru pasangan berjauhan diluluskan

SHAH ALAM, 28 MAC: Sejumlah 20,003 permohonan pertukaran guru kategori pasangan berjauhan diluluskan Kementerian Pendidikan dari 2016 hingga tahun lalu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata jumlah itu membabitkan 52.7 peratus keseluruhan 37,941 kelulusan permohonan pertukaran guru.

Beliau berkata pada setiap sesi kelulusan, permohonan pertukaran guru kategori pasangan berjauhan mencatat peratus kelulusan tertinggi berbanding lain-lain kategori.

“Kami sentiasa memberi keutamaan kepada permohonan yang melibatkan pertukaran daripada kategori pasangan berjauhan.

“Selain itu guru berkhidmat kurang tahun di negeri semasa layak membuat permohonan pertukaran sekiranya berada dalam kategori menghidap penyakit yang memerlukan rawatan berterusan atau bergantung kepada ubat-ubatan atau kategori mengancam keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata bagi mengatasi isu permohonan pertukaran guru, Kementerian Pendidikan membuat penambahbaikan kepada modul dan kaedah memproses pertukaran guru.

“Prinsip asas pertukaran guru adalah berdasarkan kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di sesebuah negeri atau daerah yang dimohon.

“Selain itu, kepentingan dan keperluan perkhidmatan turut diambil kira dalam menguruskan pertukaran guru terutama bagi guru yang mengajar mata pelajaran khusus atau memerlukan kelayakan khas,” katanya.

Selain itu, katanya Kementerian Pendidikan secara prinsipnya bersetuju mengembalikan sesi persekolahan kepada bulan Januari tetapi bukan dalam masa terdekat mengambil kira pelbagai faktor yang perlu diselesaikan dan justifikasi berdasarkan pematuhan kepada Akta Pendidikan.

“Perancangan Kementerian Pendidikan untuk mengembalikan kalendar akademik persekolahan kepada Januari dan berakhir Disember perlu memastikan silibus setiap mata pelajaran dapat diselesaikan selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan sebagainya.

“Selain itu turut diambil kira faktor cuaca yang tidak menentu dan ekonomi setempat selain perlu memastikan bilangan persekolahan anak-anak tidak boleh kurang daripada 190 hari dalam tempoh setahun,” katanya.


Pengarang :