AGENDAGLOBAL

239 orang cedera gempa bumi di Iran

TEHRAN, 26 MAC: Jumlah mangsa yang cedera dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 5.6 yang menggegarkan barat laut Iran pada pagi Jumaat kini mencecah 239 orang, lapor Xinhua memetik ISNA pada Sabtu.

Gempa yang berlaku berhampiran daerah Khoy di wilayah Azarbaijan Barat pada 6.46 pagi waktu tempatan (0316 GMT) itu mempunyai kedalaman 8 kilometer, menurut Pusat Seismologi Iran (IRSC).

Ketua Pertubuhan Bantuan dan Menyelamat Iran, Sadeq Mahmoudi berkata 50 mangsa yang cedera adalah dari daerah Khoy dan selebihnya dari daerah Salmas.

Beliau berkata 219 orang telah discaj manakala 20 lagi termasuk tujuh dari Khoy dan 13 dari Salmas, dimasukkan ke wad.

Mahmoudi berkata khemah dan selimut telah dihantar kepada penduduk di kawasan yang dilanda gempa bumi.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Yayasan Perumahan Azarbaijan Barat Jafar Barzegar memberitahu agensi berita rasmi Iran IRNA bahawa 80 unit kediaman di 10 kampung di daerah Salmas dan Khoy rosak akibat gempa bumi itu.

Pada akhir Januari, gempa bumi bermagnitud 5.9 magnitud melanda Khoy County yang meragut tiga nyawa selain mencederakan lebih 800 orang.

– BERNAMA-XINHUA


Pengarang :