Bangunan Parlimen Malaysia kelihatan tersergam indah bagi persediaan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ketika tinjauan pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

24,000 mohon Inisiatif Pendapatan Rakyat dalam dua minggu

SHAH ALAM, 9 MAC: Sebanyak 24,000 permohonan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) diterima dalam tempoh hampir dua minggu selepas dilancarkan, maklum menteri ekonomi.

Rafizi Ramli berkata setiap permohonan akan melalui proses semakan silang menerusi sistem data e-Kasih dan penerima Tunai Rahmah bagi memastikan pemohon benar-benar layak.

“Sejak dilancar, Kementerian Ekonomi menerima maklum balas dan sambutan menggalakkan menerusi permohonan di laman sesawang yang dibangunkan khusus untuk penerima mendaftar.

“Setakat ini, jumlah permohonan sekitar 24,000 dan akan bertambah dari sehari ke sehari. Kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk kenal pasti calon yang layak dan menepati kriteria,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Segamat R Yuneswaran berhubung bagaimana IPR dapat membantu isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar menjana pendapatan.

Dalam pembentangan belanjawan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan IPR untuk mengupayakan golongan miskin bagi meningkatkan potensi pendapatan.

Sejumlah RM750 juta diperuntuk kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR meliputi Inisiatif Usahawan Tani, Inisiatif Usahawan Makanan dan Inisiatif Operator Perkhidmatan.


Pengarang :