Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali bergambar bersama penerima anugerah Majlis Anugerah Komuniti Strata (Aksara) Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2022 di Mardhiyyah Hotel dan Suites, Shah Alam pada 20 Mac 2023. Foto MBSJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

25 JMB, MC terima Anugerah Pengurusan Lima Bintang MBSJ

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 21 MAC: Sebanyak 25 Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) menerima Anugerah Pengurusan Lima Bintang dalam Majlis Anugerah Komuniti Strata (Aksara) Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2022 malam tadi.

Pada majlis yang berlangsung di Mardhiyyah Hotel dan Suites di sini, enam daripada 25 badan pengurusan itu menerima Anugerah JMB dan MC Terbaik.

Penerima Anugerah JMB terbaik ialah Pangsapuri Garnet, Taman Puchong Indah bagi kategori kos rendah, Pangsapuri Putra Permai 1A, Taman Equine Seri Kembangan (kos sederhana) dan One Soho, SS16 Subang Jaya (kos tinggi).

Sementara penerima Anugerah MC Terbaik pula ialah Pangsapuri Belimbing Cempaka, Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan bagi kategori kos rendah, Pangsapuri Sri Kesidang, Bandar Puchong Jaya (kos sederhana) dan Kondominium Desa Impiana, Puchong Prima (kos tinggi).

MBSJ turut menyampaikan Anugerah Ejen Pengurusan Terbaik kepada lima syarikat iaitu MSFM & Associate, Intra Harta Consultant Sdn. Bhd., Azmi & Co Sdn. Bhd., Nilai Harta Consultant Sdn. Bhd. dan TCL Management & Services.

Kesemua pemenang menerima sijil dan plak sementara penerima Anugerah JMB dan MC Terbaik mendapat hadiah tambahan berupa wang tunai RM1,500 setiap pemenang.

Anugerah disampaikan Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali.

Mohd. Zulkurnain berkata pelaksanaan Program Penilaian Lima Bintang ini bertujuan mengukur prestasi pengurusan dan penyenggaraan bangunan berstrata di bawah MBSJ.

“Pada sesi penilaian tahun 2022, MBSJ telah memilih 300 kawasan lot pangsapuri daripada kategori kos rendah, sederhana dan tinggi untuk dinilai prestasi pengurusan dan penyenggaraan mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

“Hasil penilaian, 25 JMB dan MC terbaik dipilih dan diberi pengiktirafan bagi menyuntik semangat baharu kepada JMB dan MC lain supaya lebih aktif dan komited dalam memastikan kawasan pemajuan berstrata mematuhi ketetapan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757),” katanya.


Pengarang :