EXCO Pembangunan Modal Insan dan Generasi Muda dan Sukan, Mohd Khairuddin Othman (tengah) bergambar bersama anggota sukarelawan pelbagai agensi di hadapan Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis, Johor pada 8 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

291 anggota agensi Selangor, 107 aset bantu operasi pembersihan pascabanjir di Johor

LABIS, 8 MAC: Seramai 291 anggota pelbagai agensi Selangor digerakkan bagi menjayakan operasi pembersihan di sembilan lokasi daerah ini yang terjejas banjir baru-baru ini.

EXCO pembangunan modal insan berkata Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa dua bermula hari ini hingga Jumaat dianggotai kakitangan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), Sukarelawan Selangor (Serve), Team Selangor dan KDEB Waste Management (KDEBWM).

EXCO Pembangunan Modal Insan dan Generasi Muda dan Sukan, Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada SelangorKini selepas taklimat pasca banjir di Bilik Gerakan Banjir Dewan serbaguna Majlis Daerah Labis, Johor pada 8 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mohd Khairuddin Othman memaklumkan 107 aset meliputi lori tangki, jentera pengorek-kaut (backhoe), lori jetter, kenderaan pacuan empat roda 4×4, perkakas cucian dan tong Roll On Roll Off (RoRo) dibawa dalam misi tiga hari itu.

“Semua keanggotaan, aset dan logistik diselaras Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Muhammad Hanafi Ahmad. Setakat ini, Selangor paling ramai menghantar anggota untuk membantu mangsa di sini.

“Bagaimanapun, kita mengharapkan misi pembersihan kali ini berjalan lancar dan mendapat kerjasama daripada penduduk,” katanya ditemui di pusat operasi bencana di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini hari ini.

EXCO Pembangunan Modal Insan dan Generasi Muda dan Sukan, Mohd Khairuddin Othman ketika taklimat berkenaan bantuan pasca banjir Bilik Gerakan Banjir Dewan serbaguna Majlis Daerah Labis, Johor pada 8 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu beliau yang mengetuai misi bantuan itu diberi taklimat berhubung situasi semasa penempatan penduduk terjejas oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Labis Herman Raban.

Difahamkan, kawasan paling teruk terjejas antaranya Kampung Jawa Baru Chaah, Kampung Kangkar 1 dan 2, Taman Damai Jaya 2, Taman Sri Chaah dan Taman Orkid.

Semalam Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri menggerakkan Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa kedua.

Misi membabitkan anggota pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke Johor hari ini bagi membantu usaha pembersihan pascabanjir di negeri itu.

Sukarelawan mendaftar di Bilik Gerakan Banjir Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis, Johor pada 8 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada 4 Mac lalu Kerajaan Negeri menggerakkan Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa pertama diketuai Muhammad Hanafi yang menghantar pelbagai barangan keperluan asas ke Johor.

Barangan tersebut seperti makanan, minuman, kit kebersihan, pakaian dan lampin pakai buang dihantar ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana (Zon Selatan), Muar bagi memudahkan urusan pengagihan kepada mangsa banjir.

Sebanyak 1,000 makanan dan 1,000 kit kebersihan diserahkan termasuk 418 bakul makanan, 200 kampit beras lima kilogram, lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, selipar, pakaian dewasa dan kanak-kanak serta air mineral.


Pengarang :