Pengunjung memilih pelbagai kuh-muih dan juadah berbuka yang dijual pada harga RM1 sepaket di sebuah gerai di Taman Klebang Restu, Ipoh pada 24 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

3,000 paket kuih-muih, juadah berbuka harga RM1, habis dijual setiap hari

IPOH, 25 MAC: Lebih 3,000 paket kuih-muih dan pelbagai juadah yang dijual pada harga RM1 sepaket licin dibeli pengunjung di sebuah gerai di Taman Klebang Restu di sini yang terletak kira-kira 20 minit dari pusat bandar raya.

Terdapat 24 vendor yang mengambil bahagian menghantar kuih-muih dan juadah di gerai yang dibuka dari jam 2 petang hingga 7.30 malam sepanjang Ramadan ini.

Pelbagai kuih seperti lopes, kuih ketayap, cara berlauk, tauhu bergedil, koktel buah termasuk aneka juadah seperti nasi ayam kunyit, nasi ayam merah, makaroni goreng dan kuetiau goreng yang dijual laris kerana rasanya yang enak.

Pembantu kedai Nurul Nartisa Ishak, 28, berkata inisiatif itu dilakukan agar pengunjung dapat merasai pelbagai kuih-muih dan juadah dengan harga murah iaitu RM1 untuk setiap satu paket.

“Setiap satu paket kuih dan juadah ini dibungkus cukup untuk seorang makan. Jadi, bila ada yang berkeluarga, mereka dapat membeli dalam kuantiti banyak tanpa risau tentang harga mahal.

“Gerai kami sudah dibuka sejak dua bulan lepas, setakat ini memang kuih-muih dan juadah di gerai kami habis dibeli pengunjung dan rata-ratanya ada yang sanggup datang dari pekan Ipoh kerana mereka teruja dengan harga dan pilihan yang disediakan,” katanya.

Nurul Nartisa yang membantu perniagaan iparnya berkata jualan agak memberangsangkan apabila mereka boleh mengekalkan hasil jualan lebih RM3,000 sehari.

“Saya dan pihak vendor tidaklah mendapat keuntungan tinggi, cukup-cukup untuk kami peniaga mendapatkan modal pusingan daripada jualan. Saya lebih seronok melihat pengunjung membeli kuih-muih dan sajian makanan kami dengan harga murah,” katanya.

Bagi vendor, Siti Nur Syazlili Mohd Shafiaie, 33, dia menghantar kuih lopes, cara berlauk dan pulut inti ke gerai itu bagi membantu meringankan beban keluarga.

“Setakat ini, saya seronok berniaga macam ini. Bila hantar kuih, habis. Pengunjung pun gembira dan ada juga datang dari jauh hampir setiap hari bagi merasai keenakan kuih kami.

“Walaupun dijual pada harga murah, kami vendor akan memastikan kuantiti yang dijual adalah banyak. Macam satu jenis kuih, saya perlu hantar dalam 10 paket sebab ingin pastikan ada modal pusingan,” katanya.

Pengunjung yang ingin dikenali sebagai Amy berkata sudah masuk hari ketiga dia hadir membeli kuih-muih dan juadah di situ kerana banyak pilihan dan murah.

“Saya datang dari Ipoh, ini sudah masuk hari ketiga saya hadir ke sini. Makanan di sini sedap dan banyak pilihan. Dengan harga RM1 ini saya dapat membeli macam-macam kuih, kalau saya bawa RM10, saya boleh membeli 10 paket kuih pelbagai jenis tanpa perlu berkira tentang harga.

“Tetapi perlu datang awal memandangkan kuih-muih dan juadah habis menjelang petang. Saya datang pukul 4.30 petang pun sudah mula tinggal separuh. Belum lagi waktu orang balik kerja, pasti licin,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :