Penerima BINGKAS P Selvarani, 39, membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di sebuah pasar raya di Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

357 keluarga di DUN Sungai Tua terima bantuan bulanan RM300

OLEH SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 15 MAC: Sebanyak 357 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menerima bantuan bulanan RM300 melalui skim Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) tahun ini.

Pegawai Pusat Khidmat Masyarakatnya Maimon Misman berkata tumpuan diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah dan miskin bandar.

“Masih ramai yang ingin memohon namun kita utamakan keluarga dengan pendapatan bawah RM3,000 dan mempunyai anak yang masih bersekolah serta tidak menerima bantuan bulanan daripada agensi lain.

“Kita juga harap kuota ditambah agar lebih ramai keluarga dapat dibantu,” katanya ketika ditemui.

Menurut Maimon, pihaknya turut bekerjasama dengan jawatankuasa penduduk bagi mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan-bantuan lain.

Bingkas merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) membabitkan peruntukan RM108 juta.

Program yang merupakan sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang itu membolehkan penerima mendapat bantuan bulanan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun diagih menerusi aplikasi e-dompet Wavpay.


Pengarang :