Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah pada Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Teratai di Ampang Jaya pada 2 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

3,600 penduduk kunjungi sembilan lokasi jualan murah hari ini

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 2 MAC: Kira-kira 3,600 orang mengunjungi sembilan lokasi program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) hari ini bagi mendapatkan barangan asas ditawarkan pada harga murah.

Pengurus Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Izzul Fadhli Hamzah berkata barangan jualan seperti ayam, telur, daging, ikan dan beras menjadi pilihan ramai serta habis dijual di hampir semua lokasi.

“Setiap lokasi purata kehadiran ialah 400 orang dan hasil jualan pula RM18,000 manakala kesemua lokasi dengan 3,600 pengunjung mengumpulkan RM162,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Program JER Kerajaan Negeri menerusi PKPS diadakan di sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Kawasan terlibat ialah Pukal Padi, Jalan Tali Air 12, Sungai Nibong di DUN Sungai Panjang, Pondok KRT Flat RP5 berhadapan Klinik Kesihatan Rawang (DUN Rawang), AU5D (DUN Hulu Kelang), Dewan Terbuka Taman Dewan Kundang (DUN Kuang) dan KRT Taman Muda (DUN Teratai).

Lokasi lain ialah di Bandar Teknologi Kajang (DUN Sungai Ramal), Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Klang (DUN Pandamaran), kawasan lapang sebelah Restoran Jumaat, Padang Jawa (DUN Sungai Kandis) dan pekarangan Sekolah Kebangsaan Tamil Sungai Sedu (DUN Banting).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS atau Facebook PKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :