Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada sesi walkabout peniaga di Bazar Ramadan Rahmah Presint 14, Putrajaya pada 27 Mac 2023. Foto Facebook KPDN Laman Rasmi
AGENDANASIONAL

38 lokasi Bazar Ramadan Rahmah tawar juadah buka puasa pada harga murah

PUTRAJAYA, 27 MAC: Bazar Ramadan Rahmah (BRR) yang menjadi produk terbaru di bawah inisiatif Payung Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dilaksanakan di 38 lokasi seluruh negara, kata Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan BRR di Bazar Ramadan Presint 14, di sini, hari ini, beliau berkata pelaksanaan BRR itu adalah hasil kerjasama peniaga melalui libat urus bersama KPDN dalam menawarkan harga Menu Rahmah sebagai usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Di bazar ini terdapat lebih kurang 148 gerai dan hampir 48 peratus gerai menawarkan Menu Rahmah dengan harga bawah RM5.

“Ada juga penjualan set ‘lamb shank’ yang biasanya dijual pada harga lebih RM50 tetapi di sini ia bermula dari RM30 bergantung kepada menu yang dipilih,” katanya hampir 100 peratus urus niaga di BRR tersebut adalah secara tanpa tunai.

Antara BRR lain adalah Bazar Ramadan Food Truck Rahmah di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur; Bazar Ramadan Bayan Baru, Pulau Pinang; Bazar Ramadan People Walk Ipoh, Perak; dan Bazar Ramadan Binjai Rendah, Marang, Terengganu.

Pengunjung bazar boleh mengunjungi gerai yang terdapat pelekat ‘Menu Rahmah’ bagi mendapatkan juadah berbuka puasa pada harga berpatutan.

Mengenai aduan harga makanan yang dijual di bazar Ramadan, beliau berkata KPDN telah menerima 99 aduan setakat ini dan pegawai penguat kuasa KPDN sentiasa melakukan operasi pemantauan bagi mengelakkan peniaga menjual makanan dengan harga sesuka hati.

Beliau turut berkata pegawai KPDN telah memeriksa sebuah gerai di bazar Ramadan yang didakwa menjual nasi ayam berempah dengan harga RM15 seperti yang tular di media sosial namun didapati gerai tersebut telah ditutup setelah mendapat kritikan ramai.

“Setakat ini saya tidak mendengar ada harga melampau kecuali nasi ayam berempah itu. Kebiasaannya harga nasi dengan ayam dan sayur adalah antara RM8 dan RM9 dan harga RM15 itu tidak berpatutan,” katanya.

Mengenai bekalan telur pula, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar memaklumkan ia adalah stabil di peringkat nasional dan sekiranya ada isu kekurangan telur, ia hanya berlaku di sesuatu kawasan sahaja.

Salahuddin, bagaimanapun, memohon pemain industri untuk memaklumkan kepada KPDN dengan kadar segera sekiranya terdapat isu kekurangan telur di kawasan masing-masing.

Media semalam melaporkan bahawa bekalan telur ayam di Terengganu berkurangan sebanyak 33 peratus pada bulan Ramadan berikutan terdapat kekurangan bekalan daripada pihak pembekal.

Dianggarkan keperluan telur ayam di Terengganu adalah sebanyak satu juta biji sehari dan bekalan yang diterima adalah kira-kira 600,000 biji dan bekalan itu menurun pada Ramadan iaitu kira-kira 400,000 biji.

– BERNAMA


Pengarang :