EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau menyantuni pelajar dari India sempena sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK, Shah Alam pada 15 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

42 pelajar dari India saksikan proses sidang DNS, dialog dengan EXCO

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 15 MAC: Seramai 42 pelajar dari Ethiraj College for Women, Chennai, Tamil Nadu, India diberi peluang menyaksikan proses sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Kesemua pelajar wanita yang sebahagiannya pelajar ijazah dan Ijazah Sarjana Ekonomi Perniagaan dalam rangka lawatan sambil belajar selama tujuh hari ke Malaysia anjuran Pertubuhan Komanwel Diraja Benua Asia.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi negeri V. Ganabatirau berkata mereka duduk di kerusi pemerhati selama satu setengah jam untuk melihat bagaimana sidang DUN dipraktikkan.

Menurut Ganabatirau pelajar berkenaan kemudian diberi penerangan mengenai kehidupan rakyat di Malaysia yang aman serta makmur walaupun berbilang kaum dan agama.

“Saya juga maklumkan kepada mereka mengenai kepesatan pembangunan di Selangor sehingga menjadi pilihan rakyat negeri lain untuk berhijrah kerana peluang pekerjaan yang luas selain pentadbiran yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog berakhir.

Sepanjang berada di Malaysia kumpulan pelajar itu melawat pusat pentadbiran Putrajaya, pejabat Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, dua buah universiti, sebuah sekolah Tamil, pejabat pihak berkuasa tempatan, sidang Parlimen dan bertemu beberapa pemimpin tempatan.

Kumpulan pelajar yang turut disertai tiga pensyarah dan seorang penyelaras itu dijangka pulang ke India pagi Sabtu ini.


Pengarang :